Tuesday 6 June 2017

Waktu Melayu Islam Masih Buat Benda Khurafat, Dua Tokoh Ini Cuba Bawa Perbaharuan

Pada awal abad ke-19, masyarakat Melayu yang dah lama memeluk agama Islam masih lagi mengamalkan perkara-pekara khurafat, seperti yang telah diperhatikan oleh seorang pegawai British dalam bukunya, Malay Sketches. Antara pemerhatiannya adalah orang Melayu ni taat sungguh pada agama, tapi juga suka berjudi, meminjam wang (tapi liat nak pulang balik), dan mengumpat.

Jadi pada zaman yang sama, muncul dua tokoh yang cuba mengajak orang Melayu kembali kepada ajaran Islam sebenar iaitu Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Boleh dikatakan mereka berdua ni adalah pelopor utama gerakan pembaharuan dan seterusnya kepada gerakan kemerdekaan negara kita.

Sebelum kita beramah-mesra dengan dua tokoh ni, jom berkenal-kenalan dulu dengan cikgu mereka. Ceritanya, mereka berdua belajar kat Universiti Al-Azhar dan kat situlah mereka dipengaruhi dua reformis Islam yang lebih senior dari Timur Tengah iaitu Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Kedua-dua ‘mentor’ ni aktif dalam menyebarkan pemikiran mereka yang mengajak masyarakat untuk mencari kebenaran agama dan menentang penjajahan Barat terhadap umat Islam.

“Pemikiran Jamaluddin menegaskan bahawa Islam tidak menentang akal dan sains, tetapi menggalakkan penganutnya berfikir berdasarkan logik dan rasionalis berasaskan ijtihad (proses penyelidikan yang serius) dan tidak bertaklid (pendapat tanpa alasan dan hujah) membabi buta” – Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda, p64

Usaha penerbitan pemikiran kaum muda ini dijalankan bersama sama Muhammad Abduh yang merupakan satu usaha menentang penjajahan dan eksploitasi Barat terhadap orang-orang Islam.” – Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda, p57″



Jadi bila Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir balik ke Tanah Melayu, mereka mula bawak pemikiran mereka tu kat masyarakat Melayu. Pada mulanya orang Melayu tak mahu ikut, sebab diorang kata ini semua baharu dan sesat. Orang Melayu masa tu macam kena culture shock la.

Dan antara ajaran yang dua tokoh kita tadi cuba bawak ialah…

[Nota: Selain daripada link yang diberikan, artikel ini akan banyak merujuk buku Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda (dipendekkan jadi HRRKM) tulisan Dr Hashim Ismail, pensyarah kat Universiti Malaya.]

1. Ajak orang Melayu bezakan antara adat lama dan agama Islam

Macam yang dah dicakap tadi, kehidupan orang Melayu masa tu masih lagi dipengaruhi amalan animisme dan agama Hindu, malah dicampur adukkan dengan agama Islam. Amalan ni seperti percaya kat bomoh, ilmu kebal dengan ayat al-Quran, tilik nasib, guna tangkal, puja kubur wali atau keramat, mandi Safar dan sebagainya.

Benda-benda macam inilah yang Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir nak hapuskan. Bagi mereka orang Melayu takkan maju kalau agama sendiri pun mereka tak faham.

Dengan tu, mereka seru orang Melayu supaya kembali kepada al-Quran dan Hadis. Sebab tu jugaklah, Sheikh al-Hadi pernah tegur belia Melayu waktu tu yang kata kalau nak jadi alim ni… “kena duduk kat masjid memanjang.”

Sheikh Tahir jugak pernah tulis kat majalah al- Imam, katanya:

“Setiap kejayaan yang dicapai seseorang itu adalah atas USAHA DAN IKHTIAR mereka sendiri dan ia tiada kaitan dengan faktor QADA’ DAN QADAR.” – HRRKM, p99
Tulisan ni diterbitkan pada 19 Sept 1906, hampir 110 tahun dulu! Sheikh Tahir cakap macam tu sebab masa tu orang Melayu sangat bergantung kat Qada’ dan Qadar tanpa usaha.

2. Mereka seru supaya anak perempuan diberi peluang untuk belajar



Antara perkara yang mereka lantang perjuangkan adalah pendidikan. Sebabnya, sebelum tu orang Melayu tak anggap belajar ni penting. Lagi-lagi anak perempuan. Bagi mereka, nanti bila dah besar sikit kahwinkan je anak perempuan tu, pastu selesai masalah. Senang dan mudah!

Tapi mereka mula seru orang Melayu untuk bagi pendidikan kat golongan wanita (rujuk fail PDF). Sebab bagi mereka golongan wanita pun boleh berjaya dan patut diberikan kebebasan memilih. Bagi mereka, orang Melayu mesti kejar peluang untuk belajar dan pendidikan tu mestilah tak ada sebarang diskriminasi sama ada dengan darjat, jantina atau usia.

“Pendidikan kaum wanita diperjuangkan oleh golongan cerdik pandai Melayu bermula dengan ‘Hikayat Faridah Hanom’ (novel Syed Sheikh al-Hadi) yang memperkenalkan perjuangan pelajaran kaum wanita.” – HRRKM, p294.
Yang lagi menarik, mereka ajak orang Melayu belajar Bahasa Inggeris sebab bagi mereka bahasa inilah yang boleh bawa kemajuan (rujuk fail PDF). Sebab masa tu Barat sangat maju, mereka dah kuasai hampir semua ilmu pengetahuan. Perkara ni dah terbukti sekarang. Betul tak?

“Masyarakat digalakkan belajar bahasa inggeris dan sains bagi menghadapi kemajuan pemikiran Barat yang melanda umat Islam seluruh dunia waktu itu.” – HRRKM, p297.


Difahamkan jugak, Sheikh Tahir pernah bagi surat kepada Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah untuk yakinkan baginda supaya dibina satu tempat khusus seperti universiti kat Perak.

Mereka juga mengkritik sistem pembelajaran Islam di Tanah Melayu. Pernah sekali, Sheikh Al Hadi kritik sekolah pondok yang kerana tidak tersusun, ketinggalan zaman dan lebih bersifat menghafal. Korang tengok! berapa beraninya dia!



3. Sangat giat terbitkan buku, akhbar dan majalah

Untuk luaskan lagi gerakan pembaharuan, mereka terbitkan pelbagai majalah dan akhbar. Majalah yang popular waktu tu; majalah Al-Imam (rujuk fail PDF) yang juga dianggap sebagai lidah rasmi golongan pembaharuan. Selain itu ada lagi majalah dan akhbar lain macam Saudara, al-Ikhwan, Neracha dan al-Munir.

Semua majalah dan akhbar ni ada misi yang sama iaitu nak sedarkan orang Melayu termasuk di Indonesia, selain kebebasan bersuara dan menyebarkan pemikiran. Jadi akhbar dan majalah ni dipenuhi dengan pandangan, kritikan dan prinsip perjuangan diorang.(rujuk fail PDF)

Syed Sheikh Al-Hadi juga hasilkan beberapa novel, macam Hikayat Faridah Hanum, Hikayat Cermin Kehidupan, Hikayat Puteri Nurul Ain dan banyak lagi. Novel-novel ni banyak bagi fokus pada perjuangan kebebasan wanita dalam pendidikan dan hidup.

Majalah al-Imam sebagai suara rasmi Kaum Muda (golongan pembaharuan).
Imej dari Muhammad Ismail Ibrahim.



4. Mengetuai gerakan ideologi menentang ulama yang masih berfikiran lama

Ketika tu, ada dua istilah untuk gambarkan dua golongan ulama.

Kaum Muda – golongan ulama dan reformis yang bawak pemikiran baharu dan ajak umat Islam untuk lebih progressif.
Kaum Tua – golongan ulama tradisional dan konservatif yang masih kekalkan pemikiran lama.
Menurut Hamka Kaum Tua adalah;

“Golongan ulama tua yang memandang ke zaman lampau, masih di takuk lama dengan pemikiran tradisional ulama silam yang tidak memberatkan perkembangan pemikiran pada zaman moden.”
(Hamka, Said Djamaluddin al-Afghani-Pelopor Kebangkitan Muslimin,1970)
Disebabkan Kaum Muda lantang mengkritik Kaum Tua. Banyak dari ajaran mereka dituduh sesat dan menyeleweng. Antara yang Kaum Muda kritik adalah pendapat-pendapat ulama Kaum Tua yang terlalu ikut adat dan tak ikut ajaran Islam sebenar, macam soal aurat dan solat.

“Ulama tradisional berpegang, seorang lelaki Muslim bersolat mesti mengenakan kain sarung, baju dan memakai kopiah tetapi Syeikh Al-Hadi berpendirian, seorang lelaki Muslim boleh bersolat selagi beliau memakai pakaian yang menutup tubuhnya dari pusat ke lutut. Ini termasuk memakai seluar, kot, kemeja dan tali leher.

“Pendapat ini menjadi kontroversi hebat dalam kalangan masyarakat ketika itu dan hanya diterima umum selepas lewat tahun 1960-an.” – dipetik dari Utusan Malaysia.

Sheikh Tahir Jalaludin ada swag. Imej dari Bicara as-Syira

Bila Kaum Muda terbitkan majalah al-Munir lepas majalah al-Imam ditutup. Kaum Tua jugak mula terbitkan majalah mereka sendiri yang dipanggil al-Mizan. Tujuannya nak bantah pendapat dan idea dari Kaum Muda.

Karya, majalah dan buku Kaum Muda pun mula dilarang masuk ke beberapa buah negeri negeri Melayu. Sebenarnya golongan Kaum Tua ni ada kuasa sebab diorang berkuasa kat pejabat kadi dan mufti.

Antara ulama yang digelar Kaum Tua adalah Sayyid Alwi bin Tahir al- Haddad (Mufti Johor), Hj Abu Bakar Muar (ulama Johor), Sheikh Osman Jalaluddin al-Kelantani (ulama Kelantan),Sheikh Fadhlullah Suhaimi (ulama Pengasas PAS) dan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli (ulama Indonesia).


Antara ulama Kaum Muda di Indonesia. Imej dari soeloehmelajoe

Walaupun pertembungan dua golongan ni boleh dikatakan sengit. Tetapi pertembungan itu lebih bersifat perang idea dan ideologi. Masing-masing ada hujah bagi mempertahankan pendapat masing-masing dan masyarakat bertindak sebagai pemerhati dan perlu bijak dalam memilih.

5. Bersahabat dengan pemimpin dan ulama dari Indonesia

Antara ulama Indonesia yang menyokong kuat gerakan ni adalah Syeikh Abdul Karim Amrullah. Kalau korang nak tahu, Syeikh Abdul Karim Amrullah ni adalah ayah kepada Hamka.

Selepas itu, Hamka teruskan perjuangan ayahnya dengan terbitkan buku, majalah dan novel. Maka lahirlah novel yang kita selalu dengar macam “Di Bawah Lindungan Kaabah” dan “Tenggelamnya Kapal van der Wijck” yang dalamnya mengkritik budaya Minangkabau dan masyarakat Indonesia masa tu, walaupun ada unsur cinta dalam jalan penceritaannya.

Boleh dikatakan Hamka adalah salah seorang yang paling aktif dekat Indonesia dalam menyebarkan pemikiran Kaum Muda. Hamka sendiri pernah hantar surat kat Mufti Johor, Sayyid Alwi bin Tahir al- Haddad yang tuduh gerakan Kaum Muda ni sebagai sesat.

Surat tu bertajuk “Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor” yang sekarang dah pun dibukukan. Jadi sapa-sapa yang nak baca boleh la beli.

Hamka jugak ada tulis buku tentang perjuangan ayahnya dalam buku “Ayahku”. Dalam buku ni Hamka ada cerita pasal fatwa ulama tradisional Indonesia bernama Syeikh Abdul Hadi yang tuduh pemikiran Kaum Muda sesat.

“Syeikh ini membawa fatwanya di Seluruh Sumatera untuk mengecam Kaum Muda yang dianggap sesat. Sementara Kaum Muda mengutuk sekeras-kerasnya umat Islam yang taksub kepada ulama sebegini, sehingga sisa makanan mereka pun direbut-rebut
untuk dimakan kembali bagi mendapat berkat” – Hamka (HRRKM, p101)
Hamka jugak terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia, pernah berkawan baik dengan Soekarno dan jugak pernah kena fitnah sampai dia kena masuk penjara.

Tapi dengan semua tu, Hamka sekarang dah diiktiraf sebagai seorang ulama, sasterawan, pemimpin dan pejuang, bukan je kat Indonesia tapi kat seluruh nusantara.


Buya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Imej dari Persis Al- Amin

Pengaruh pemikiran mereka masih releven sampai sekarang
Syed Sheikh al-Hadi dan keluarganya di depan rumah mereka. Imej dari The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady.

Jadi selepas apa yang dibuat oleh tokoh-tokoh ni, maka muncullah lagi ramai pemikir Melayu. Antaranya: bekas Presiden PAS Dr Burhanuddin Al-Helmi (rujuk fail PDF), nasionalis Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), tokoh wartawan Abdul Rahim Kajai, Dipertua UMNO pertama Dato Onn Jaafar (rujuk fail PDF), pendeta bahasa Za’ba dan ramai lagi.


Dari kiri: Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanudin al-Helmy dan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba).

Masa sekarang individu yang aktif menyambung pemikiran ni adalah Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin (Dr Maza) dan Dr Uztaz Rozaimi.

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Dr Ustaz Rozaimi 

Syed Sheikh al-Hadi meninggal dunia pada 20 Februari 1934 ketika berusia 67 tahun dan Sheikh Tahir pula menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun bersamaan 26 Oktober 1956. Kedua-dua mereka tak dapat lihat Tanah Melayu merdeka.

Walaupun tak dikenang seperti mana pemimpin atau tokoh lain, perjuangan mereka sentiasa akan ada dalam lipatan sejarah.

Kesimpulannya, tokoh-tokoh ni dah berusaha untuk ubah nasib nenek moyang kita dulu dan tugas kita sekarang adalah belajar dan teruskan perjuangan mereka.

Sumber:

No comments: