Tuesday 30 May 2017

Tarikh melihat anak bulan puasa, hari raya dan sejarahnya


Assalamualaikum dan salam 1Dunia, pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selepas Maghrib pada 10/8/2010 sememangnya ditunggu oleh semua rakyat Malaysia untuk pengetahui tarikh sebenar berpuasa. Majlis Raja-Raja telahpun menetapkan bahawa tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi semua umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Selasa, 10 Ogos bersamaan 29 Syaaban 1431 Hijrah.

Fakta menunjukkan amalan merukyah atau melihat anak bulan bermula sejak dari tahun 1933 di negeri Johor yang di ketuai oleh Datuk Al Syed Salaim bin Syed Hassan Al-Attas. Kemudian pada tahun 1934 Al Syed Alwi bin Tahir Al-Hadad telah mengetuai rombongan merukyah anak bulan dari atas menara Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru yang kebetulan terletak di tepi pantai. Walau bagaimanapun tiada bukti yang menunjukkan keupayaan tempat tersebut untuk merukyah anak bulan.

Apabila Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam ditubuhkan, bermula tahun 1972 penentuan kedua-dua tarikh ini dilakukan secara rukyah dan hisab. Kaedah ini menyatakan sekiranya anak bulan tidak kelihatan ketika merukyah, tetapi mengikut hisab falak (kiraan untuk menentukan kedudukan anak bulan) anak bulan itu wujud dan umurnya mencapai 8 jam ketika matahari terbenam, maka hisab falak digunakan.

Amalan penetapan puasa dan hari raya ini berjalan dengan sempurna sehinggalah pada tahun 1977, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam tiba-tiba telah menerima rumusan Seminar Pentadbiran Undang-undang Jenayah dan Keluarga Islam. Rumusan seminar tersebut menyatakan tarikh puasa dan hari raya hanya ditentukan dengan cara rukyah sahaja. Maknanya ketika merukyah anak bulan pada petang 29 Syaaban atau Ramadhan jika mendapati anak bulan tidak kelihatan, keesokan harinya dicukupkan menjadi 30 Syaaban atau Ramadhan. Penetapan ini tidak mengambil kira hisab tetapi ianya hanya berfungsi sekadar membantu dalam kerja-kerja merukyah sahaja.

Kesan dari penetapan ini timbul semula perbincangan hangat berhubung dengan kaedah yang diamalkan. Ini jelas memperlihatkan negara kita sering sahaja terlewat memulakan puasa dan hari raya berbanding dengan negara-negara lain. Apa yang berlaku negara kita sentiasa mencukupkan puasa sebanyak 30 hari kerana anak bulan tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca, wal hal seperti yang sedia maklum bulan-bulan Islam itu sentiasa berselang seli antara 29 atau 30 hari. Bahkan di zaman Rasulullah s.a.w, dalam jangka masa 10 tahun hanya sekali sahaja baginda berpuasa selama 30 hari.

Kemuncak kepada kontroversi ini berlaku semasa penentuan Ramadhan dan Syawal 1401H (1981M). Kerajaan telah memutuskan penentuan tarikh ini secara rukyah semata-mata. Mengikut hisab, ijtimak bulan Ramadhan 1401H berlaku pada 3.00 pagi pada 2 Julai 1981. Pada petang hari tersebut matahari terbenam pada pukul 6.54 petang manakala bulan pula terbenam pada pukul 7.30 petang. Ini bermakna peluang merukyah anak bulan mengambil masa 36 minit setelah matahari terbenam. Akan tetapi rombongan merukyah anak bulan pada petang tersebut gagal melihat anak bulan kerana faktor cuaca yang dialami di negara kita. Justeru Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan permulaan puasa jatuh pada 4 Julai 1981. 3 Julai 1981 bulan Syaaban disempurnakan menjadi 30 hari. Hal ini tidak disedari oleh sebahagian besar umat Islam, tetapi bagi ahli-ahli falak menyedari akan timbul masalah semasa menentukan hari raya kelak.

Ketika menentukan hari raya, ijtimak bulan Syawal 1401 telah berlaku pada 31 Julai 1981. Mengikut hisab pada petang hari tersebut matahari terbenam pada pukul 6.56 petang dan bulan pula akan terbenam pada pukul 7.09 petang. Maknanya anak bulan akan berada di atas ufuk ketika matahari terbenam selama 13 minit. Mengikut hisab anak bulan boleh dirukyah pada petang tersebut. Tetapi pada tarikh tersebut (31 Julai), umat Islam di Malaysia baru mencukupkan puasa selama 28 hari sedangkan menurut rukyah anak bulan hanya akan dirukyah pada 29 haribulan hijrah. Oleh itu pada 31 Julai 1981 anak bulan tidak dirukyah sedangkan negara-negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand telah mengisytiharkan hari raya pada 1 Ogos 1981. Sedangkan Malaysia pada tarikh tersebut (1 Ogos) baru hendak merukyah anak bulan Syawal dan hasilnya anak bulan (sebenarnya bulan sabit yang telah berumur dua hari) telah kelihatan dengan jelas di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah. Ini bermakna Malaysia telah terlewat sehari berhari raya dengan negara-negara jirannya.

Menjelang tahun 1984, negara kita sekali lagi telah melakukan perubahan penetapan tarikh puasa dan hari raya dengan menggabungkan kedua-dua kaedah rukyah dan hisab. Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam telah menetapkan penentuan awal Ramadhan dan Syawal berdasarkan kriteria kebolehnampakan (imkanur rukyah) seperti yang ditetapkan dalam Persidangan Hilal Negara-negara Islam Sedunia di Istanbul, Turki (1978). Rumusan itu menyatakan, pada hari rukyah anak bulan dikira nampak jika ketika matahari terbenam;
a. Tinggi anak bulan tidak kurang dari 5 darjah dari ufuk barat
b. Jarak lengkung anak bulan ke matahari tidak kurang dari 8 darjah.
c. Umur anak bulan tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Ini bermakna jika anak bulan sudah lahir tetapi tidak kelihatan ketika merukyah dan kedudukan anak bulan mengikut hisab berada di luar lingkungan tiga syarat di atas, anak bulan di kira tidak nampak dan esoknya disempurnakan 30 Syaaban atau 30 Ramadhan. Akan tetapi jika anak bulan sudah lahir tetapi tidak kelihatan ketika merukyah dan kedudukan anak bulan mengikut hisab berada di dalam lingkungan tiga syarat di atas, anak bulan di kira nampak. Dengan itu esoknya dikira sudah bermula bulan baru samada 1 Ramadhan atau 1 Syawal.

Walaupun kaedah penentuan puasa dan hari raya ini sudah diterima dengan baik oleh masyarakat Islam di negara kita tetapi masih lagi berlaku ketidak seragaman tarikh tersebut berbanding dengan negara-negara jiran di persekitaran Asia Tenggara. Ini berpunca dari ketidak selarasan kaedah penetapan Ramadhan dan Syawal. Contohnya Brunai masih lagi mengamalkan kaedah rukyah sahaja manakala Singapura pula menggunakan kaedah hisab sahaja. Cuma Malaysia dan Indonesia sahaja yang menggunakan gabungan kaedah rukyah dan hisab tetapi mungkin juga wujud perbezaan dari segi penggunaan kriteria imkanur rukyah. Sebab itulah ketika menyambut puasa dan hari raya sering tidak selaras dengan negara-negara jiran walaupun kedudukan kita serumpun dan bersebelahan.

Menyedari hakikat perbezaan ini, langkah awal untuk mewujudkan keseragaman tarikh penting ini dilakukan oleh negara kita bersama-sama dengan Indonesia, Brunai dan Singapura kesan langsung dari pertemuan tidak rasmi Menteri-menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS). Perbincangan yang berterusan di antara anggota-anggota MABIMS dengan mengambil kira keperluan dan pengalaman semasa dan persetujuan semua pihak menghasilkan suatu keputusan baru yang lebih bersesuaian. Hasilnya MABIMS telah bersetuju menetapkan puasa dan hari raya dengan gabungan kaedah rukyah dan hisab. Tetapi kriteria imkanur-rukyah yang digunakan di resolusi Persidangan Negara-negara Islam di Istanbul pada 1978 telah diubahsuai dengan menetapkan anak bulan di kira nampak dan boleh di lihat jika mengikut hisab anak bulan berada di kedudukan berikut pada hari rukyah:

a. Anak bulan berada pada ketinggian tidak kurang dari 2 darjah di ufuk barat ketika matahari terbenam, dan
b. Jarak lengkung anak bulan ke matahari ketika matahari terbenam tidak kurang dari 3 darjah, atau
c. Umur anak bulan ketika bulan terbenam pada hari rukyah tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Kesan dari penyeragaman ini, sejak dari tahun 1992 hingga sekarang ummat Islam di negara kita menjalani ibadah puasa dan berhari raya serentak dengan Indonesia, Singapura dan Brunei. 

Sumber : http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=262976

PERISTIWA MEMALI, 1985


Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'.
Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

LOKASI

Peristiwa berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya keturunan Melayu. Sebahagian mempunyai kaitan dengan Siam/Patani. Aktiviti ekonomi mereka ialah menoreh getah dan bersawah padi.

USTAZ IBRAHIM MAHMUD





Korban Memali

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986



Sumber: 
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=404185 

ISABELLA - TOKOH MUSLIMAH SEPANYOL



LATAR BELAKANG ISABELLA

Isabella ialah nama yang tidak asing lagi dalam sejarah perkembangan Islam di Sepanyol terutamanya dalam bidang perbandingan agama Islam dan Kristian di Bandar Cordova iaitu bandar sejarah Sepanyol dan merupakan bandar tercantik di Sepanyol. Terdapat banyak tinggalan bersejarah di Cordova seperti istana al-Hamra, Qasrul Syuhada (makam para syuhada), masjid Cordova dan juga taman tercantik di Sepanyol iaitu Rabat Yamani.



Isabella hidup pada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol iaitu selepas zaman pengembangan Islam yang dibawa oleh Tariq Ziad dan Musan bin Nusair. Isabella pada asalnya ialah seorang penganut Kristian yang taat dan patuh pada agamanya. Beliau merupakan anak kepada seorang ketua paderi di Cordova. Penganut Kristian pada masa itu sangat bencikan Islam dan menanggap penganut Islam sebagai kafir dan syaitan. Penganut Kristian di Cordova pada waktu itu berpegang pada doktrin Trinity iaitu dotrin 3 Tuhan iaitu Tuhan Bapa. Tuhan Anak dan Roh Kudus.

Isabella pada usia mudanya sentiasa mempelajari dan mengkaji tentang agamanya iaitu Kristian. Beliau sentiasa cuba untuk mencari kebenaran dalam agama Kristian dan berusaha menghayati prinsip-prinsip agama Kristian. Ketika kebenaran Islam terbentang di hadapannya maka dia memilih Islam sebagai agama baru. Isabella dengan berani menentang kehendak ayahnya agar kembali kepada Kristian meskipun dirinya dan diseksa bukan sahaja oleh bapanya malah oleh seluruh umat Kristian Cordova.

Selepas mengharungi ranjau yang pedih sebagai muslim. Beliau akhirnya menjadi seorang tokoh perbandingan agama yang ulung bahkan seorang muhaddisah iaitu ahli hadis di Cordova. Beliau juga telah mengasaskan Institut Pengajian al-Quran di kediamannya sendiri. Umur Isabella ketika memeluk Islam tidak diketahui dengan jelas tetapi seorang tokoh penulisan Islam iaitu Maulana Saeed Dehlvi yang berketurunan Pakistan dan mengkaji sejarah Isabella mengatakan bahawa umur Isabella ketika memeluk Islam ialah 22 tahun dan menjadi tokoh perbandingan agama yang mahsyur pada usia 34 tahun.


MENDAPAT HIDAYAH

Isabella memeluk Islam setelah tertarik dengan kebenaran Islam setetlah menghakimi sebuah majlis perdebatan Islam dan Kristian di antara para pelajar Ziad bin Umar iaitu seorang ilmuan Islam tersohor pada waktu itu. Pihak Islam telah menghantar beberapa murid tersohor Ziad bin Umar dan antaranya ialah Umar Lahmi dan Muaz al-Andalusi. Manakala di pihak Kristian pula terdiri daripada paderi-paderi terkenal dan antara mereka ialah guru agama Kristian Isabella iaitu Father Michael dan Father Peter. Perdebatan itu diadakan di sebuah gereja besar di Cordova.

Perdebatan ini berlaku selepas Isabella menghantar surat kapada Umar Lahmi dan rakan-rakannya untuk berdebat dengan paderi-paderi Cordova mengenai kebenaran prinsip-prinsip agama Islam dan Kristian. Isabella mencabar Umar Lahmi dan rakan-rakannya selepas mendengar mereka mempersoalkan kebenaran agama Kristian. Antara perkara dasar yang diperdebatkan ialah konsep Trinity, dosa warisan, dan inti sari agama Kristian yang lain. Namun ternyata kebenaran berpihak kepada Umar Lahmi dan rakan-rakannya, setiap hujah paderi-paderi Cordova dipatahkan oleh para pelajar Islam yang diketuai oleh Umar Lahmi.
Keadaan ini menyebabkan para paderi bertindak dengan lebih agresif dengan mencerca agama Islam sebagai agama keganasan dan lain-lain lagi. Isabella yang menjadi juri hakim bagi majlis perdebatan tersebut memberi keputusan yang berpihak kepada Umar Lahmi dan menyebabkan kemarahan paderi Cordova terhadap dirinya.

Antara peristiwa yang berlaku di dalam majlis perdebatan itu ialah Isabella pengsan sebaik sahaja mendengar bacaan al-Quran oleh Umar Lahmi. Keadaan yang terdesak itu menyebabkan ayah Isabella iaitu ketua paderi Cordova turun berdebat dengan Umar Lahmi tetapi perdebatan itu tidak lagi berlaku di gereja sebaliknya di rumah Isabella dengan dihadiri beberapa orang tertentu.

Bagaimanapun, cahaya Islam tidak pernah padam biarpun cuba dipadamkan oleh orang kafir melalui lisan sepertimana firman Allah dalam al-Quran surah as-Saff ayat 8 :
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”

Biarpun ayah Isabella seorang yang berpengetahuan luas dalam agama Kristian tapi ternyata dia tidak mampu menewaskan kebenaran Islam yang dibawa oleh Umar Lahmi malah bertindak menghalau Umar Lahmi dan pelajar Islam keluar dari rumahnya.

Kecewa dengan sikap paderi yang bercakap besar mampu menumbangkan pihak Islam dan sikap ayahnya yang bertindak menghalau pihak Islam keluar dari rumahnya maka Isabella mangkaji agama Islam dan dari situlah dia secara sembunyi memeluk Islam. Isabella diislamkan oleh Ziad bin Umar. Turut memeluk Islam ialah beberapa orang rakannya yang mengikuti perdebatan tersebut dan antaranya ialah Mirano St Michael iaitu anak kepada paderi Father Michael, guru agama Kristian Isabella. Melalui Ziad bin Umar dan Umar Lahmilah Isabella mempelajari agama Islam dan juga perbandingan antara Islam dan Kristian


PAHIT GETIR DALAM ISLAM

Isabella memeluk Islam secara sembunyi tanpa pengetahuan sesiapapun di Cordova. Namun akhirnya ia terbongkar selepas ramai yang mencurigai pergerakan Isabella dan membuat intipan. Dari situlah terbongkar rahsia keislaman Isabella apabila dia selalu ke madrasah milik Ziad bin Umar, mengerjakan solat dan rutin ibadah Islam yang lain meskipun dilakukan secara sembunyi. Marah dengan Isabella, ayahnya bertindak menghantar Isabella kepada gurunya iaitu Father Michael dan Father Peter dengan harapan Isabella kembali kepada agama Kristian namun sebaliknya yang berlaku apabila Isabella sendiri berdebat dengan dua orang gurunya itu mengenai kebenaran agama Kristian dan kesamaran agama Kristian hinggakan kedua-dua gurunya itu tidak mampu berhujah lagi.

Melihat keadaan Isabella yang tidak dapat dikembalikan kepada agama Kristain lagi maka ayahnya dan gurunya bertindak menghantar ke Pihak Inkuisi Kristian. Pihak Inkuisi Kristian ialah pihak yang bertanggungjawab menangani masalah penganut agama Kristian yang keluar dari agama Kristian. Di dalam tahanan pihak Inkuisilah Isabella hidup dalam seksaan dan keperitan. Beliau bukan sahaja dihina dan dikeji malah beliau juga dibelasah oleh rahib Inkuisi malah dikurung di bilik gelap yang penuh dengan tulang manusia malah tidak diberi makan minum.

Di situlah Isabella melihat ritual-ritual yang dijalankan Inkuisi Kristian seperti seorang rahib yang diikat kaki dn tangannya dengan rantai dan disebat dengan cemeti sebagai tanda tunduk dan sesal dengan kesalahan diri. Para rahib wanita menangis disisi patung Virgin Mary (Maryam ibu Musa) dan rahib-rahib yang menangis dan meronta tidak sedarkan diri kononya melihat Tuhan. Selepas menjalani setiap masa yang menyiksakan di tahanan Inkuisi dia dipaksa untuk kembali kepada agama Kristian supaya beliau dapat dibebaskan namun imannya menolak malah sebaliknya dia pula yang berdebat mempersoalkan kesahihan agama Kristian menyebabkan dia dikurung kembali dalam penjara gelap.

Akhirnya dia dibebaskan oleh rakan-rakannya yang berpura-pura menganut agama Kristian. Selepas peristiwa yang berlaku ke atas Isabella, Ziad bin Umar menyeru kepada pemerintah Islam Sepanyol agar member jaminan perlindungan kepada saudara baru. Selepas seruan itu, Isabella diberikan pelbagai kemudahan antaranya kediaman sendiri yang akhirnya menjadi Institusi Pengajian al-Quran di Sepanyol.


BENTUK DAKWAH ISABELLA

Isabella menggunakan dua bentuk dakwah dalam menyampaikan kebenaran Islam dan kesamaran Kristian iaitu :

1 – Dakwah bil-Mujadalah (Perbahasan atau perdebatan)
Bentuk dakwah inilah yang paling banyak digunakan oleh Isabella. Antara yang pernah berdebat dengan Isabella gurunya iaitu Father Peter dan Father Michael, rahib-rahib di tahanan Inkuisi Gereja dan seorang rahib Kristian dari wilayah Toledo yang handal berhujah dan mahir dengan al-Quran dan Injil. Perdebatan dengan Rahib Toledo inilah yang paling menarik kerana ia berlaku secara terbuka dihadapan orang ramai. Kebenaran berpihak kepada Isabella apabila dia berjaya mematahkan hujah lawan dengan hujah yang bernas dan mempersonakan.

Hasil daripada perdebatan tersebut, ramai golongan terpelajar Kristian yang mengikuti perdebatan itu memeluk Islam begitu juga dengan Rahib Toledo walaupun mengambil masa yang lama untuk memelukm Islam. Peristiwa ini direkodkan oleh Abu Hafiz salah seorang pelajar Islam yang mengikuti perdebatan tersebut.


2- Dakwah melalui surat
Isabella mengutuskan surat kepada ayahnya ketika ayahnya mengadakan perhimpunan besar dan sulit Kristian di sebuah gereja. Surat itu yang menerangkan perbandingan Islam dan Kristian dibaca di hadapan penganut Kristian yang hadir dalam perhimpunan itu. Antara isi kandungan surat itu menjawab persoalan prinsip-prinsip agama Kristian :

1) Allah itu Esa dan tidak ada sekutu baginya

2) Doktrin Trinity tidak memaparkan kesucian Tuhan kerana menyamakan Tuhan dengan manusia sedangkan dalam al-Quran dan Injil disebutkan bahawa manusia dan Tuhan tidak sama.

3) Tiap-tiap manusia yang lahir menurut Islam adalah suci daripada dosa dan mustahil seorang bayi yang tidak tahu apa-apa mendapat dosa yang dikenali dosa warisan. Dosa warisan adalah satu bentuk tuduhan fitnah ke atas kemuliaan Nabi Adam dan Hawa a.s

4) Keutamaan yang diberikan oleh al-Quran ke atas akhlak dan guru-guru itu ialah kemulian dan ketinggian moral (akhlak) itu yang tidak akan ditemui dalam agama lain.

5) Kitab suci al-Quran yang diturunkan untuk menerangkan kebenaran yang telah lama dicemarkan dan dipalsukan. Al-Quran membersihkan segala fitnah terhadap para nabi dan rasul malah tanggapan buruk terhadap agama Islam itu sendiri.

6) Islam menyebut secara terperinci akan hak-hak wanita dan perintah pembebasan hamba abdi. Malah meniupkan semangat persaudaraan antara umat manusia dan menetapkan hubungan dengan Allah yang mana tidak terdapat dalam agama Kristian.

7) Islam menyuburkan moral manusia dan menyediakan tatasusila yang tetap bagi manusia dimana dengan mematuhinya manusia mampu mngawal nafsu secara sederhana.

Namun begitu hidayah adalah milik Allah, ternyata ayah Isabella tidak memeluk Islam setelah membaca surat itu. Isabella juga menyampaikan risalah Islam dengan cara mengajar al-Quran dan Hadis di Institut Pengajian al-Quran yang merupakan kediamannya sendiri.


MENINGGAL DUNIA

Sepanjang hayatnya, Isabella terus menyembahkan baktinya kepada keagungan Islam. Di satu pihak dia menutup mulut orang-orang Kristian dan di pihak lain pula dia mencurahkan ilmu pengetahuannya ke dalam dunia pembelajaran, ilmu hadith dan penafsiran kitab suci al-Quran. Beratus ribu cendekiawan Islam telah mendapat manfaat daripada ilmunya. Isabella telah hidup sehingga mencapai usia 80 tahun dan telah menutup mata dalam keadaan yang damai dan tenang, diratapi oleh seluruh penduduk Sepanyol.

Berjuta-juta orang telah mengiringi jenazahnya ke tempat persemadian yang terakhir. Orang-orang di tempat yang jauh ada yang melakukan solat ghaib untuk arwahnya dan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Semoga perkongsian ini meningkatkan lagi semangat dan kesedaran kita betapa pentingnya kita meneruskan perjuangan dakwah ini demi memartabatkan syiar Islam bukan sahaja di mata dunia, malah untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan umat manusia seluruhnya, insya'Allah.



Sumber: 
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=398096

Genap 53 tahun siaran TV di Malaysia

Sinar Harian - 28 Disember 2016

28 Disember - HARI ini, pada 53 tahun yang lalu, industri penyiaran negara yang bermula dengan perkhidmatan radio mencatat sejarah dengan pelancaran perkhidmatan televisyen (TV). 

Cadangan mewujudkan perkhidmatan TV dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 16 Mac, 1960 dengan penubuhan satu jawatankuasa tetap dipengerusikan oleh Menteri Muda bagi Kementerian Penerangan dan Penyiaran, Syed Jaafar Albar. 

Jawatankuasa itu turut dianggotai Yaakob Latif (Pengarah Penerangan), Dol Ramli (Pengarah Penyiaran), J.H. Wagstaff (Ketua Pengarah Telekom) dan Ow Kheng Law (Ketua Unit Filem Negara). 

Penolong Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Ayub bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa. 

Pakar kejuruteraan Suruhanjaya Penyiaran Kanada (CBC), G.H. Jones dan pakar perancangan dan perancangan CBC, G.F Brickenden ditugaskan untuk menyediakan laporan mengenai pelbagai aspek penyiaran TV kepada kerajaan. 

Jones mengemukakan beberapa cadangan mengenai aspek kejuruteraan pada 14 Ogos, 1962 manakala Brickenden mengemukakan satu lagi laporan pada 1963. 

Akhirnya pada 28 Disember 1963, perkhidmatan TV Malaysia dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dari studio sementaranya di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 


Fasa Baharu Industri Penyiaran

Pelancaran TV Malaysia merupakan fasa baharu industri penyiaran di negara ini setelah penubuhan stesen radio pertama di Tanah Melayu pada 24 Ogos, 1934. 

TV Malaysia memulakan operasi dengan beberapa penggerak terdiri daripada anak tempatan di bawah pengawasan pakar CBC. 

Anak tempatan yang menjadi perintis kepada perkhidmatan TV adalah Ow Kheng Law (Pengarah TV), Kirpal Singh (Ketua Kejuruteraan) Raja Iskandar (Ketua Bahagian Rancangan) dan Luke Ang (Ketua Berita). 

Kumpulan pertama operasi penerbitan terdiri daripada (Tan Sri) Ahmad Merican, (Datuk) Abdullah Mohamad, (Datuk) Syed Alwi, Hashim Amir Hamzah, Low Hing Boon, Tan Gek Siam dan Richard Job. 

Pada awal penubuhannya, TV Malaysia hanya mempunyai satu saluran yang bersiaran selama 44 jam seminggu dari jam 6.30 petang hingga 9.45 malam pada Isnin hingga Jumaat. 

Pada Sabtu dan Ahad pula, siaran bermula pada jam 3.00 petang dan tamat pada 11.10 malam. 

Lima puluh peratus rancangan disiarkan secara langsung termasuk siaran berita dengan jumlah masa siaran 40 minit sehari dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. 

Baki lima puluh peratus lagi siaran adalah filem terbitan Filem Negara Malaysia serta rancangan import.


Perkembangan Teknologi Penyiaran

Setelah bersiaran melalui satu saluran selama lima tahun, Kementerian Penerangan mewujudkan rangkaian kedua perkhidmatan TV pada 17 November, 1969. 

Operasi penerbitan diperluaskan setelah berpindah ke Wisma TV di Angkasapuri yang dilancarkan pada 1968 oleh Tunku Abdul Rahman. 

Teknologi siaran TV terus berkembang apabila siaran TV warna dilancarkan pada 1978 dan sekaligus meletakkannya setaraf dengan industri penyiaran di negara lain. 

Sejajar dengan perkembangan teknologi internet, Radio Televisyen Malaysia atau RTM yang memayungi perkhidmatan radio dan TV kerajaan turut mengorak langkah dalam memanfaatkan teknologi media baharu dengan memperkenalkan penstriman TV. 

Pada tahun 2012, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim melancarkan perkhidmatan penstriman TV melalui telefon pintar. 

Seiring dengan perkembangan teknologi penyiaran dan ledakan media baharu, misi dan objektif RTM turut mengambil kira cabaran dan saingan dalam industri penyiaran terkini. 

RTM yang mula disaingi oleh stesen swasta dengan penubuhan TV3 pada 1984 tetap mampu menjadi peneraju industri penyiaran negara meskipun pada masa sama harus bersaing dengan pelbagai stesen terestrial swasta dan saluran berbayar. 

Untuk meningkatkan keupayaannya, RTM turut memanfaatkan saluran TV berbayar dengan mewujudkan TVi dan Muzik Aktif. 

Bagaimanapun, matlamat asal penubuhannya tetap sama. 

RTM tetap komited dalam melahirkan negara bangsa menerusi perkhidmatan penyiaran berteraskan gagasan 1Malaysia. 

Dalam tempoh lebih lima dekad ini, TV Malaysia yang merupakan entiti penting dalam RTM di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia terus bergerak bagi merealisasikan matlamatnya menjadi penyiar terulung di rantau ini. 

Antara lain, RTM sedang mempersiapkan diri menghadapi era pendigitalan bagi memenuhi keperluan industri penyiaran global yang semakin berkembang serta persaingan dengan media sosial yang mula menguasai industri teknologi maklumat dan komunikasi. - Bernama


ALLAHYARHAM MAAROF ZAKARIA

Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia.


Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria. Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.

Tak ramai orang muda yang mengetahui kenapa jalan ini diberi nama Jalan Maarof. Bagi yang tahu nama Maarof inilah yang patut menjadi kenangan mengenai cabaran awal yang dihadapi oleh pendukung ekonomi Melayu di masa lalu.

Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.

Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).

Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.

Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation.

Pada bulan Julai, 1947 sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan oleh seorang peguam Melayu bernama Encik Maarof Zakaria.


Bank tersebut hanya mempunyai 2 juta saham yang hanya terbuka kepada orang-orang Melayu.

Pelanggannya juga terhad kepada orang-orang Melayu sahaja.

Selepas 6 bulan beroperasi dengan jayanya Encik Maarof Zakaria telah didapati terbunuh di Lake Garden. Jam rolex di tangannya dan wang dalam sakunya telah tidak diambil oleh pembunuh itu. Ini bererti pembunuh berniat ingin membunuh Encik Maarof sahaja.

Maarof telah diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban, Negeri Sembilan.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.

Mustapha cukup yakin bapanya menjadi mangsa komplot pihak tertentu yang tidak mahu melihat tokoh Melayu bangkit terutama dalam bidang ekonomi kerana penubuhan Malay National Bank itu dilihat bakal menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik China iaitu Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

SEWAKTU hidupnya, arwah pelakon veteran itu juga pernah meluahkan isinya pada seorang wartawan Mstar.

”Saya ni hilang kasih sayang. Kasih sayang isteri dan kasih sayang seorang ayah,” ujarnya.

Penulis bertanya, semasa kejadian, adakah apa-apa perasaan yang beliau rasakan?

Dengan pantas Mustapha berkata, dia tidak begitu merasai apa-apa kehilangan kerana usia yang masih kecil ketika itu.
Namun ketika sedang membesar, baharulah Mustapha merasai beliau sebenarnya kehilangan seorang ayah yang hebat iaitu pengasas sebuah bank.

“Tahu atau tidak, apabila saya sudah besar, baru saya tahu nama Jalan Maarof (di Bangsar) itu diberikan sempena nama ayah saya… sebelum itu saya langsung tidak tahu mengenainya,” kata Allahyarham.

Menurut beliau, selepas diceritakan semula mengenai kematian arwah ayahnya itu, Mustapha mengakui beliau benar-benar sedih apatah lagi pembunuhan itu berlaku.

Sumber: Berita Harian , Mstar &blog-blog.

HMS MALAYA



HMS Malaya adalah antara kapal yang berada di dalam pengelasan kapal penempur Queen Elizabeth ( Queen Elizabeth class-battleship) di mana kapal ini dibina oleh Sir W.G Armstrong Withworth dan syarikatnya. Kapal yang seberat 33 020 tan ini telah ditaja oleh raja-raja dari Persekutuan Negeri Melayu ( negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri sembilan) dinamakan MALAYA. Cadangan bagi membiayai pembinaan kapal perang ini telah dibuat oleh sultan Perak pada tahun 1913 , disokong oleh Sultan Selangor. Namun begitu, kapal perang ini dibina untuk kegunaan Tentera Laut Diraja British, sebagai penghormatan bagi Persekutuan Melayu yang membiayai kos pembinaan, kapal ini diberi nama HMS Malaya. 

Saiz HMS Malaya 196.82 meter dan mampu belayar selaju 25 knot dilengkapi turbin Parsons Stim yang terdiri daripada 24 buah turbin pada kelajuan 56 500 kuasa kuda. HMS Malaya telah dilancarkan pada bulan Mac 1915 8 buah MK I 15-inch/42 senjata ( 4x2) , 16 /14 ( kapal-kapal lain) , MK XII senapang 6 inci, 2 buah senjata anti pesawat 3 inci, 4 buah senapang saluting 3-pdr (47mm), 4 buah tiub torpedo 1916 21 inci (530mm) , 2 senapang bersaiz 6 inci yang dikeluarkan daripada dek forecastle , 8 senapang 15 inci ( 4 x 2) , 8 senjata tunggal 6 inci, dan 8 buah MKXVI senjata anti pesawat 4 inci.

HMS malaya telah berkhidmat pada perang dunia pertama dan perang dunia kedua, ketika perang dunia pertama, ramai penduduk tanah melayu yang menderma kepada british untuk berperang di eropah, HMS Malaya berkhidmat di bawah skuadron Battle 5 diketuai Admiral Hugh Evan-Thomas. kapal perang tersebut mengambil bahagian dalam Pertempuran Jutland pada 31 Mei 1916 menentang tentera jerman, dimana HMS Malaya telah diserang lapan kali dan mengalami kerosakan yang teruk lantas memberi kesan kepada anak-anak kapal. Seramai 65 orang telah meninggal dunia dalam pertempuran. Kapal tersebut mengambil masa selama 8 minggu untuk proses baik pulih. Kapal HMS Malaya antara yang unik dalam kalangan kapal-kapal pertempuran dengan menerbangkan bendera merah-putih-hitam-kuning lambang Negeri Melayu Bersekutu.

Semasa Perang Dunia Kedua, HMS Malaya berada di Mediterranean pada tahun 1940 dan mengambil bahagian dalam operasi menentang Armada Itali. Kapal perang itu juga terlibat dalam kejadian konvoi pengiring terhormat di Coast Afrika barat. Semasa operasi ini HMS Malaya terlah diserang torpedo oleh Jerman U-bot U-106 pada 20 Mac 1941mengakibatkan kapal tersebut menjadi senget pada 7 darjah akibat ditembak teruk dan proses pembaikan telah dijalankan di Amerika Syarikat dari Julai 1941 hingga musim panas tahun 1943, kemudiannya kembali berkhidmat lagi dalam memberi perlindungan Konvoi di UK ke Malta dan Capetown.

HMS Malaya akhirnya ditarik balik daripada semua jenis perkhidmatan pada akhir 1944 dan menjadi kapal penginapan untuk sekolah torpedo. Kapal perang tersebut telah dijual pada 20 Februari 1948 untuk Industri Logam, dan tiba di Faslane pada 12 April 1948 untuk pelupusan.

Fakta menarik : pada 17 November 1922, HMS Malaya juga pernah membawa Sultan Terakhir Empayar Uthmaniyyah, Mehmed VI, dari Istanbul ke Malta ( dan kemudian San Remo) , Pada bulan Ogos sehingga september 1938 , HMS MAlaya berkhidmat di pelabuhan Haifa semasa kebangkitan arab. 

Sumber: arkibkuno 2013.
Kredit to Hasnee Rahman.

Facebook: PUSMAS TLDM

Monday 29 May 2017

SEJARAH JAMBATAN PULAU PINANG

Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Ia adalah sepanjang 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Ia menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Prai.

Ia bermula daripada idea mantan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu.

Cetusan itu dilahirkan setelah beliau berpendapat sebuah jambatan perlu didirikan bagi menghubungkan Pulau Pinang dan Butterworth di tanah besar sekitar tahun 1950-an.
Kerja pembinaan bermula pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985, hanya 3 tahun sahaja dan ia memakan belanja sebanyak RM 850 juta. Jambatan ini membawa kebanggaan kepada negara. Ia diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (''cable-stayed bridge'') yang terawal di dunia. Ia mula dibuka pada 14 September 1985 untuk kenderaan awam. Panjang keseluruhan jambatan Pulau Pinang adalah 13.5 Km, yang menjadikannya antara jambatan terpanjang di dunia. Sebelum tahun 1985, Pengangkutan utama untuk pergi ke pulau ialah feri yang masih beroperasi sehingga sekarang.



1) Panjang keseluruhan: 13.5 km (8.4 batu)
2) Panjang melintasi air: 8.4 km (5.2 batu)
3) Laluan Pulau Pinang: 1.5 km (1.0 batu)
4) Laluan Seberang Prai: 3.6 km (2.2 batu)
5) Laluan: 4 Laluan (6 laluan pada sekarang)
6) Tinggi menara dari aras air: 101.5 Meter
7) Tinggi jambatan dari aras air: 33 Meter
8) Gantungan utama: 225 Meter
9) Gantungan hujung: 107.5 Meter
10)Gantungan lain: 40 Meter
11)Had laju: 80 km/j




Tarikh-tarikh Penting :

Awal 1970 an - Tun Abdul Razak mencadangkan pembinaan jambatan bg menghubungkan Seberang Perai dgn Pulau Pinang.

Akhir 1970 an - Tun Hussein Onn merancang utk membinanya.

23 Julai 1981 - Menteri Kerja Raya, S Samy Vellu mengumumkan jambatan Pulau Pinang akan mengikut konsep Jambatan San Fransisco Golden Gate.

Tahun 1982 - Pembinaan bermula.

3 Ogos 1985 - Perasmian oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

14 Sept 1985 - Pembukaan rasmi jambatan kepada kenderaan awam.


Sewaktu dalam pembinaan

Kerja-kerja pembinaan jambatan Pulau Pinang mengambil masa empat tahun. 

Perdana Menteri, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Kerja Raya bersama pasangan masing-masing sewaktu perasmian.

Hanya sekali dalam sejarah, majlis makan malam diadakan di atas Jambatan Pulau Pinang.


Beberapa hari sebelum Jambatan Pulau Pinang dibuka kepada kenderaan awam melaluinya untuk pertama kali pada 1985, orang ramai telah diberi peluang untuk berjalan di atas jambatan sepanjang 13.5 km itu. Ia satu peluang istimewa yang mungkin tidak akan berulang lagi, dan oleh kerana jambatan itu suatu binaan yang mengagumkan ketika itu, beribu-ribu orang mengambil peluang tersebut.



Pada 13 April 1985, sebuah jambatan sepanjang 13.5 kilometer (km) dengan empat menara di bahagian tengahnya yang terletak 33 meter dari paras laut siap dibina.

Kerja-kerja pembinaannya hanya mengambil masa selama empat tahun dengan peruntukan sebanyak RM850 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Ilham seni rekaan jambatan tersebut datangnya daripada anak tempatan yang merupakan seorang pakar dalam bidang kejuruteraan geoteknikal dan merupakan bekas Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada tahun 1960-an.

Berasal dari Nibong Tebal, mendiang Profesor Tan Sri Ir. Chin Fung Kee berjaya meluahkan ilham inovatifnya dengan menggunakan rekaan seismik bagi menghalang binaan jambatan daripada runtuh apabila berlaku gempa bumi.

Reka bentuk jambatan tersebut dilakukan dengan menggunakan kaedah gelegar konkrit. Kaedah itu menggunakan kabel penahan seperti yang terdapat pada jambatan Golden Gate Bridge di San Fransisco, Amerika Syarikat (AS) dan bukannya kaedah tambatan keluli yang digunakan dalam pembinaan Sydney Harbour Bridge.

Dari segi fakta kejuruteraan, cerucuk yang digunakan bagi membina jambatan tersebut adalah sepanjang 648 km yang bersamaan jarak dari Butterworth ke Johor Bahru.

Uniknya, jambatan tersebut mampu menahan kesan gempa bumi sehingga berukuran 7.5 skala Richter manakala keseluruhan jambatan tersebut panjangnya 13.5 km, dengan 8.4 km daripada jambatan berada di atas paras laut.

Tun Mahathir menyeberangi Jambatan Pulau Pinang dengan kereta Proton Saga merah pada majlis perasmiannya 3 Ogos 1985.
__________________
inspiration comes to us slowly and quietly..prime it with a little solitude..

Sumber: 
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=261077

JIMMY CHUA - PENJENAYAH PALING GANAS TUMPAS


AJORITI rakyat negara ini pasti masih mengingati peristiwa enam banduan menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu, Kuala Lumpur, kira-kira 20 tahun lalu.
Ini kerana kejadian pada pagi 17 Oktober 1986 itu tidak pernah berlaku dalam sejarah penjara negara.

Orang awam yang ditahan banduan adalah pakar kulit, Dr Radzi Jaafar dan ahli teknologi perubatan, Abdul Aziz Abdul Majid, ketika itu masing-masing berusia 41 dan 40 tahun.

Enam banduan yang terbabit dalam kejadian berkenaan tidak lain tidak bukan diketuai penjenayah berbahaya, Jimmy Chua atau Chua Chap Seng iaitu bekas anggota polis Singapura.

Peristiwa itu mungkin tidak berlaku jika Jimmy Chua tidak diberkas polis, dibicarakan dan merengkok dalam penjara dan akhirnya dijatuhi hukuman mati pada 10 Oktober 1989.

Meskipun berita banduan menahan pakar kulit dan ahli teknologi perubatan itu mendapat liputan meluas media serta menjadi bualan, tidak ramai yang mengetahui anggota polis yang memberkas penjenayah terbabit.

Mereka ialah anggota Unit Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Inspektor Bakri Ghazali dan empat anggota termasuk Detektif Konstabel Rosdi Shafie.

Tiga lagi ialah Koperal How Seng Beng, Detektif Konstabel Rahman, Detektif Konstabel Anuar dan Detektif Konstabel Azizan.

Pasukan itu memberkas Jimmy Chua, beberapa hari selepas penjenayah paling dikehendaki terbabit menembak mati Konstabel Mohd Yasin Ismail pada 8 Februari 1984.

Seorang daripada anggota pasukan itu, Rosdi yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Rosdi, 49, kini berpangkat koperal.

Mengenai kejayaan pasukan itu memberkas Jimmy Chua, Rosdi mengakui beliau dan rakannya bangga kerana berjaya menumpaskan penjenayah terbabit.

"Ini bukannya untuk membanggakan diri atau menunjuk keberanian tetapi kejadian itu akan menjadi satu kenangan hingga akhir hayat," katanya dalam satu pertemuan di Georgetown, baru-baru ini.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku kira-kira dua dekad lalu, bapa kepada empat anak itu, berkata pasukannya sememangnya ditugaskan untuk memburu Jimmy Chua yang membunuh anggota polis.

Sebelum kes pembunuhan itu, penjenayah itu kurang dikenali walaupun turut terbabit dalam kesalahan lain termasuk memiliki senjata api dan menjadi ketua kongsi gelap.

Selepas pembunuhan Mohd Yassin, semua unit polis Kuala Lumpur diarahkan berjaga-jaga dan memburu Jimmy Chua.

Polis menerima maklumat penjenayah paling dikehendaki itu berada di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan menaiki kenderaan curi jenis Datsun Sunny merah dengan nombor plet palsu CU 125.

Rosdi bersama rakan membuat rondaan biasa dengan menaiki sebuah van hijau tanpa logo polis di sekitar Bukit Bintang.

Nasib menyebelahi mereka apabila terserempak dengan kereta yang dinaiki Jimmy Chua di Jalan Khoo Teik Ee Off Jalan Medan Imbi, kira-kira jam 5 petang.

Mereka terus mengekori kereta itu hingga ke Jalan Khoo Teik Eee sebelum memintas dan berhenti di depan kereta yang dipandu penjenayah terbabit.

Rosdi terus keluar melalui pintu belakang van dan lalu melompat ke atas bonet kereta sambil mengacukan pistol ke arah Jimmy Chua.

Jimmy Chua yang terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangkanya, tidak bergerak dengan kedua-dua tangan memegang stereng kereta dan matanya terkebil-kebil melihat aksi polis.

Empat lagi anggota terus menerkam ke arah penjenayah itu sambil membelit leher dengan tali pinggang kaledar bagi mengelak dia melarikan diri.

Rosdi yang berdiri di atas bonet kereta terus mengacukan pistol ke arah Jimmy Chua dan terlintas dalam fikirannya jika penjenayah itu melepaskan pegangan stereng, picu pistolnya pasti dipetik.

Selepas leher Jimmy Chua dibelit, dia ditarik keluar dan diarah meniarap di atas jalan untuk diperiksa dan sepucuk pistol dan enam butir peluru ditemui tersisip di pinggang penjenayah itu.

Drama penahanan Jimmy Chua berakhir dengan kejayaan tanpa satu das tembakan pun dilepaskan.

"Kejadian berlaku amat pantas. Kami sedang bergurau di dalam van sambil berkata kalau kita jumpa, aku naik atas bonet dan acu pistol, yang lain belit leher dengan tali pinggang kaledar.

"Apabila terserempak dengan kereta suspek, kami bertindak seperti sudah dirancang," katanya yang tersenyum puas dengan kejayaan memberkas penjenayah itu.

Penahanan itulah yang membawa kepada Jimmy Chua merengkok dalam Penjara Pudu sebelum menahan tebusan dalam usaha dia untuk membebaskan diri.

Rosdi mengaku beliau bangga kerana mereka berjaya memberkas Jimmy Chua tanpa dirancang.

"Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Ketika itu kami hanya membuat rondaan biasa dan secara kebetulan kami berada di tempat dan pada masa yang betul," katanya.

Aksi hebat pasukan itu sempat dirakam oleh seorang jurugambar sebuah akhbar yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan disiarkan keesokannya dalam akhbar berkenaan.

"Keratan gambar dan berita itu masih saya simpan dan letakkan di dalam bingkai gambar untuk tatapan sebagai kenang-kenangan," katanya.

FAKTA

Lokasi

Jalan Khoo Teik Eee Off Jalan Medan Imbi, Kuala Lumpur.

Tarikh: 14 Februari 1984
Masa: 5 petang
Penjenayah: Jimmy Chua
Senjata dirampas: Sepucuk pistol dan enam butir peluru

Sumber: 
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=145053

TUGU NEGARA PERNAH DIBOM


Lima patung-patung gangsa itu setiap satunya tingginya 15 meter. Setiap satu berdiri di atas tubuh musuh-mush yang mati digambarkan sebagai askar-askar Jepun dan pengganas komunis ( 1941-1945), dan di zaman daurat (1948-1961), di mana pengganas komunis (Bintang Tiga) mengganas secara gerila dengan menyerang dan memusnahkan kepentingan-kepentingan British di Tanah Melayu.

Mengikut Sejarah, Tunku Abd.Rahman telah mendapat ilham untuk membina Tugu Negara ini semasa mengadakan Lawatan Rasmi Ke Amerika Syarikat pada tahun 1961. Dalam lawatan tersebut, Tunku Abd.Rahman telah berpeluang dan diberi penghormatan oleh pihak pentadbiran Amerika Syarikat, untuk meletakkan kalungan bunga di Tugu Kebanggaan Negara Amerika Syarikat, iaitu Tugu Pahlawan Iwojima.

Apabila Tunku Abd.Rahman, pulang ke tanah air, beliau telah mengarahkan pelan untuk membina Tugu Negara yang serupa dengan menyesuaikan bentuk pasukan bercirikan Pasukan Askar Melayu.

Sebuah kawasan di Jalan Parlimen, yang tidak jauh dari kediaman rasmi Tunku telah dipilih untuk membina tugu gangsa ini.

Menjelang tahun 1963, peruntukan sebanyak RM 1.3 juta ringgit telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai dalam bentuk derma dan selebihnya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Seorang pengukir bangsa Itali telah dihubungi, yang bernama Filex De Weldon, telah dipilih untuk menjalankan kerja-kerja mengukir patung-patung gangsa ini.

Filex De Weldon, mengambil masa 3 tahun untuk menyiapkan empat patung manusia berdiri, dan beberapa patung yang menyerupai patung yang terlentang dan tertirap. Tugu Negara disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan Darurat (1948-1960). 

SIR FELIX DE WELDON

Tugu Negara ini telah dibom pada 26hb Ogos 1975, pada jam 5.00 pagi memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Traves dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.Ia kini telah dipulihkan pada keadaan asal.

Polis melancarkan gerakan besar-besaran mengesan empat pengganas berkenaan dan tumpuan operasi ialah di semua kebanyakan penempatan yang disyaki terutama di sekitar Bangsar. Polis percaya, kumpulan pengganas itu mungkin menyamar sebagai pekerja buruh binaan. 

Sehari selepas kejadian letupan itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 100 cc tersadai di tempat letak kereta berhampiran pasar Jalan Pudu kira-kira jam 1 tengah hari. Berdasarkan rekod, motosikal itu dipercayai dicuri di Flet Jalan Loke Yew pada 18 Ogos.