Ini kerana terdapat banyak perbezaan pendapat mengenai penemuan artifak yang boleh dikaitkan dengan kewujudan kerajaan itu.
Bagaimanapun, masih ada cahaya di hujung terowong apabila ia dikaji dari sudut sejarah kerajaan lain iaitu Pasai.
Seorang pengkaji persendirian yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Srikandi menerusi catatan blognya riwayatmelayu.blogspot.my memberitahu sejarah Kerajaan Beruas dipercayai wujud lebih awal dari Kerajaan Melaka.
Cik Srikandi berkata, petunjuk kepada sejarah Kerajaan Beruas adalah Kerajaan Pasai yang ketika itu terletak di wilayah utara Sumatera, Indonesia.
Menurutnya, Kerajaan Pasai adalah sebuah kerajaan Melayu tulen dan masyarakatnya bertutur dalam bahasa Melayu Klasik.
Sementara itu, jika kita meneliti Hikayat Raja-Raja Pasai, ada dinyatakan Islam tiba di Nusantara melalui seorang pendakwah dari Mekah bernama Syeikh Ismail.
Hikayat itu turut menceritakan bagaimana negeri Samudera di Sumatera diasaskan dan secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan Kerajaan Beruas.
Maklumat tambahan lain turut diperoleh dari satu lagi catatan sejarah yang dilakukan pengkaji persendirian menerusi blognya, putegha.blogspot.my.
Catatan blog tersebut mendedahkan kaitan Kerajaan Pasai dalam pengasasan Kerajaan Beruas. Justeru, penulis turut mencari pelbagai sumber lain termasuk Hikayat Raja-Raja Pasai untuk mendapatkan maklumat sokongan terhadap pembukaan Beruas melalui sejarah Pasai.
Bertepatan dengan pendapat pengkaji-pengkaji lain, Kerajaan Beruas diasaskan oleh Sultan Malik Al-Mansur setelah diusir dari Aceh dipercayai pada 1346, lalu baginda pergi ke Beruas yang dahulu dikenali sebagai Belukar Sambang.
Sebelum ini, baginda adalah raja di Samudera dan merupakan adik beradik kepada Sultan Malik Al-Mahmud yang memerintah Pasai. Baginda berdua merupakan putera kepada Sultan Muhammad Az-Zahir iaitu anakanda Sultan Malik Al-Salih yang menyatukan kerajaan Pasai dan Samudera dalam satu pemerintahan.
Bukti pembukaan kerajaan lama Beruas oleh Sultan Malik Al-Mansur turut disokong Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman.
Dalam kajiannya, beliau memberitahu, Sultan Malik Al-Mansur tiba di Semenanjung Tanah Melayu melalui Sungai Beruas, lalu mengasaskan Kerajaan Beruas.
“Sultan Malik Al-Mansur dipercayai raja pertama dalam Kerajaan Beruas. Takhtanya digantikan oleh Daik Ismail dan Shamsul Baharin selepas baginda kembali semula ke Aceh,” katanya ketika ditemui S2.