Sunday 20 May 2012

2012 - BINTULU SARAWAK

Lokasi: Park City Mall, Bintulu, Sarawak
Tarikh: 18-20 May 2012

Jarak Kuala Lumpur ke Bintulu, Sarawak

 
Bintulu Heart Week bermula dari 18 Mei hingga 20 Mei bertempat di Park City Mall, Bintulu Sarawak. Seramai 593 orang telah menjalani ujian Saringan Kesihatan sepanjang 3 hari kami di sini. 

PARK CITY MALL BINTULU SARAWAK
Park City Mall Bintulu dibuka pada tahun 2007 dan terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi , Bintulu, Sarawak. Merupakan Kompleks membeli belah terbesar di daerah Bintulu, Sarawak. 





Kenangan bersama setaf Sarawak Heart Foundation

MAJLIS PELANCARAN
Bintulu Heart Week 2012 dirasmikan pelancarannya oleh YB Datuk Hj Talib bin Zulpilip, Menteri Muda Pelancongan Sarawak. 




 Puan Hjh Ainon bt Kuntom, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia memberikan ucapan di Majlis Pelancaran Bintulu Heart Week 2012. 

HEALTH SCREENING







Anak Saudara ku, Intan Ernany yang mengajar di Sek. Keb. St.Anthony, Bintulu turut mengambil kesempatan untuk membuat ujian Kesihatan.... 

Ujian kesihatan sedang dijalankan. Dalam gambar ini, yang sedang mengambil ujian kesihatan itu adalah anak saudara ku Intan Ernany bt Md Sarkam yang ketika itu sedang mengajar di Sek.Keb. St Anthony di Bintulu. 

Sepanjang program dijalankan di Bintulu, kami menginap di Hotel Glory Inn, Bintulu yang terletak tidak jauh dari Park City Mall. 



BINTULU, SARAWAK





Suria Cafe - disinilah aku selalu bersarapan pagi sebelum memulakan tugas hari itu.





Bahagian Bintulu merupakan bahagian ketiga terbesar di sarawak terletak di Sarawakyang menghadap Laut China Selatan di baratnya. Bandaraya Bintulu membangun dengan pesat dengan adanya gas asli di luar pantai Sarawak setelah diiktiraf sebagai bandaraya. Ia terletak 650 km dari Bandar Kuching dan kira-kira 215 km dari Sibu atauMiri. Bintulu mempunyai keluasan 7,220.4 km2.

Ramai penduduk di negara ini tidak tahu Bintulu mempunyai Tugu DUN, iaitu tempat persidangan DUN Sarawak yang pertama dan tertua di negara ini dengan persidangan pertama diadakan pada 8 September 1867. 
Menyedari potensi perindustrian di Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu(LKB), ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada tahun 1978 untuk menjalankan pembangunan infrastruktur, juga sebagai penyelaras dan penggalak kepada pelaburan kawasan perindustrian.
Dari tahun 1979 dan seterusnya, Bintulu telah mengalami pembangunan industri yang luarbiasa dan akan berterusan menjelang tahun 2000. Terkini, Bintulu telah pun menjadi pusat pertumbuhan industri di Sarawak.
Sebuah loji pemproses gas asli iaitu, Malaysia LNG Sdn Bhd telah dibina di Bintulu. Ia menjadi penggalak kepada pembangunan lain-lain sektor yang diperlukan.

LAPANGAN TERBANG BINTULU


Lapangan Terbang Bintulu terletak 5.5 km dari bandar Bintulu. Walaupun bersaiz agak kecil, namun ia mampu mengendalikan pesawat sebesar Boeing 747. Lapangan terbang ini menggantikan Lapangan Terbang Lama yang terletak kira kira 23 km dari Lapangan Terbang Baru. Lapangan Terbang Baru ini memulakan operasinya pada 19 Disember 2002 dan dirasmikan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. Kapalterbang B747-400 adalah kapalterbang pertama mendarat di Lapangan Terbang baru pada 19 Disember 2002.
Sejarah Lapangan Terbang Bintulu bermula seawal tahun 1937 dibina oleh Kerajaan British. Lapangan Terbang Lama Bintulu dibuka untuk operasi pada 1 September 1955 yang dikendali oleh Borneo Airways. 

PELABUHAN BINTULU



Pelabuhan Bintulu di bandar Tanjung Kidurong turut dibina dan berkembang maju. Tanjung Kidurong dahulunya ialah sebuah hutan rimba yang terkenal sebagai tempat perburuan rusa. Pelabuhan ini bersebelahan dengan loji MLNG. Lembaga Pelabuhan Bintulu ditubuhkan pada 1981 bagi melicinkan pembinaan pelabuhan serta bertanggungjawab dalam pengendalian dan penjagaan pelabuhan. Semua kontrak pembinaan utama telah disiapkan mengikut jadual dengan memakan kos berjumlah RM600 juta.
Pelabuhan Bintulu mengingatkan aku ketika berkhidmat dengan Tentera Laut. Di Pelabuhan inilah KD Lekir pernah berlabuh sekitar tahun 1990 dahulu. 
 
Di menara  inilah aku mengambil gambar pelabuhan Bintulu. 

SK ST ANTHONY, BINTULU



Sek.Keb.St Anthony Bintulu terletak di Jalan Sultan Iskandar, Bintulu.  Aku beruntung membuat tugasan di Bintulu kerana di sekolah inilah anak saudara ku, Intan Ernany bt Md Sarkam mengajar. Aku berkesempatan bertemu dengan anak saudara ku ini sepanjang aku berada di Bintulu.
SK St Anthony ditubuhkan seawal 1950an dan ketika itu sekolah ini menumpang di rumah Father John Van De Laar yang terletak bersebelahan dengan Lapangan Terbang Bintulu (Lapangan Terbang Lama). Lokasi sekolah yang ada sekarang ini dibina pada tahun 1958 dan digunakan sehingga kini.





Di hadapan sekolah inilah terletaknya Lapangan Terbang Lama Bintulu

PASAR TAMU BINTULU


Tamu Bintulu menjadi tumpuan orang ramai di bandar ini setiap hari untuk membeli pelbagai hasil kebun dan hutan, kuih-muih kering, ikan kering, cencaluk dan belacan Bintulu yang terkenal. 






RESTORAN SERIBU BINTANG


Pada Hari kedua aku di Bintulu, anak saudara ku yang mengajar di Bintulu telah membawa aku makan malam di sebuah restoran yang terkenal di Bintulu. Terima kasih tidak terhingga aku kepada anak saudara ku yang tersayang yang baru sahaja kehilangan ayahanda tercinta pada bulan April 2012... Semoga anak saudara ku tabah menghadapi dugaan hidup...  


 Anak saudara tersayang.. Intan Ernany


KENANGAN BINTULU 1990 - KD LEKIR
Sebenarnya inilah bukanlah kali pertama aku di Bintulu. Sewaktu berkhidmat dengan Tentera Laut, aku telah banyak kali datang ke Bintulu.... salah satu kenangan yang masih aku simpan ialah semasa tugas rondaan di Sarawak tahun 1990 dimana KD Lekir pernah singgah di Pelabuhan Bintulu masa itu. 




Demikian secebis kenangan ketika di Bintulu..... Bumi Kenyalang memang tidak asing bagi aku kerana aku pernah berkhidmat di KD Sri Rejang, Sibu Sarawak pada tahun 1983 - 1984. 

Zulheimy Maamor
17.10.2013 - 2.30 pagi